Friday, February 29, 2008

Berita Baik Buat ...... Rakyat Malaysia

Ringgit terus catat rekod ketinggian baru
KUALA LUMPUR 29 Feb. – Ringgit mencatat rekod ketinggian baru dalam 10 tahun apabila ia mencecah paras 3.18 berbanding dolar AS hari ini manakala pakar-pakar ekonomi meramalkan unit tempatan itu bakal memecah beberapa rekod lagi dalam minggu-minggu akan datang.

Selain dirangsang kedudukan dolar AS yang semakin merosot di tengah-tengah kebimbangan tentang penurunan kadar faedah selanjutnya di AS, kata mereka, prospek pertumbuhan bagi eksport Malaysia dalam pasaran komoditi juga akan menjadi asas yang kukuh bagi melonjakkan ringgit.

Mata wang Malaysia itu telah meningkat sebanyak 16 peratus sejak tambatannya pada 3.80 berbanding dolar AS dimansuhkan pada 21 Julai 2005.

Ia boleh meningkat selanjutnya kepada RM3.05 menjelang akhir tahun, kata pakar ekonomi OSK Investment Bhd, Sia Ket Ee, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun wujud kebimbangan bahawa kelembapan ekonomi AS boleh menjejaskan pasaran eksport global dan kekuatan mata wang Asia, namun ringgit terus berdaya tahan, mencerminkan prospek meyakinkan dalam pasaran komoditi.

Dagangan hadapan minyak sawit mentah juga ditutup pada ketinggian baru RM4,005 setan metrik.

“Asas-asas kekal teguh untuk menyokong ringgit. Walaupun ada kemungkinan berlaku sedikit pembetulan dalam jangka sederhana, ringgit disasarkan meningkat kepada RM3.05 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun,” kata Sia.

Ringgit mencecah ketinggian baru dalam 10 tahun pada RM3.18 berbanding dolar AS dalam sesi dagangan tengah hari ini.

Pada penutupan dagangan hari ini, ringgit mengukuh kepada RM3.19 berbanding dolar AS setelah memperoleh semula momentumnya selepas kejatuhan kecil semalam.

– Bernama

No comments: