Monday, February 18, 2008

Berita Baik Buat .... Pelajar Miskin MRSM

PARIT, 18 Feb 2008(Bernama) -- Pelajar daripada keluarga miskin yang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan ditanggung sepenuhnya kos persekolahan mereka oleh kerajaan mulai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan melalui Program Bantuan Khas (PBK) yang dimulakan tahun ini bagi membantu pelajar keluarga miskin yang mempunyai pendapatan sekeluarga di bawah garis kemiskinan iaitu RM650 sebulan.

"Kerajaan mengambil kira piawaian garis kemiskinan. Mereka yang berada di bawah paras kemiskinan maka semua perbelanjaan kemasukan dan kehadiran mereka di MRSM akan ditanggung oleh kerajaan.

"Ini adalah selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan dan sebab itulah kerajaan mengecualikan bayaran persekolahan, yuran peperiksaan, pemberian pinjaman buku teks. Jadi ini (PBK) selaras dengan prinsip tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah MRSM Parit di sini.

Beliau berkata menerusi PBK mana-mana pelajar miskin yang diterima masuk ke MRSM akan diberikan bantuan khas seperti bayaran asrama, pakaian seragam dan lain-lain keperluan persekolahan di samping tanggungan sedia ada kerajaan sebanyak RM2,700 setahun.

Hadir sama ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan isteri Datin Seri Kamariah Mokri dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Nam Marthinin.

Najib berkata Mara akan mengenal pasti pelajar berkenaan kerana setakat ini MRSM mempunyai 31,000 pelajar di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata pembinaan MRSM di seluruh negara mencerminkan pembangunan sistem pendidikan negara dan ia adalah satu kejayaan yang amat dibanggakan.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara daripada pendidikan prasekolah hingga universiti kerana hanya pendidikan boleh mengubah kedudukan dan taraf sosio-ekonomi daripada keluarga miskin kepada orang yang berjaya.

"Dalam era globalisasi dan liberalisasi hanya dua jenis manusia yang boleh berjaya menangani semua bentuk cabaran baru iaitu orang yang mempunyai pendidikan berkualiti dan nilai-nilai yang baik serta orang yang mampu berdaya saing," katanya.

Katanya ilmu pengetahuan dan sistem pendidikan yang berkualiti boleh membawa perubahan besar dalam negara untuk menuju ke arah kemajuan dan pembangunan.

Beliau berkata melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)sebanyak 14 buah Sekolah Berasrama Penuh sedang dibangunkan di seluruh negara dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata MRSM Parit yang mula dibina di atas kawasan seluar 21.6 hektar itu dijangka siap pada Februari 2010 dan berkapasiti menampung 1,050 pelajar.

"MRSM ini merupakan MRSM kelapan di Perak iaitu negeri yang paling banyak mempunyai MRSM di negara ini. Mara ketika ini mempunyai 37 MRSM di seluruh negara," katanya.

Beliau juga berkata MRSM kini menjadi institusi pendidikan popular untuk pelajar cemerlang dan ia terbukti apabila sebanyak 40,000 permohonan diterima untuk memasuki tingkatan satu dan empat pada tahun ini berbanding 36,999 permohonan tahun lepas.

Daripada jumlah itu hanya 11,765 calon sahaja yang diterima memandangkan kekurangan tempat di MRSM sedia ada, katanya.

Beliau berkata Mara sedang menambah pusat MRSM di seluruh negara bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar cemerlang.

No comments: