Sunday, March 2, 2008

Berita Baik Buat.......Penabung Tabung Haji

investmentKUALA LUMPUR 6 Feb. - Pemberian dividen Tabung Haji sebanyak tujuh peratus kepada para pendepositnya pada tahun ini disambut baik oleh persatuan pengguna yang menyifatkannya sebagai langkah wajar dan satu perkongsian yang sihat.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, pemberian dividen yang tertinggi sejak tahun 2001 itu bukan sahaja menguntungkan para pendepositnya tetapi juga meningkatkan imej institusi tersebut sekali gus dapat menarik lebih ramai pendeposit baru.

"Dengan keuntungan yang dicapai oleh Tabung Haji, adalah wajar mereka memberikan dividen yang tinggi dan ini merupakan satu langkah perkongsian yang sihat antara institusi itu dengan pendeposit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, jika kadar dividen itu dapat dikekal atau ditingkatkan lagi pada masa depan, ia dapat meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap Tabung Haji.

Tabung Haji semalam mengumumkan pemberian dividen sebanyak tujuh peratus termasuk dividen khas dua peratus yang melibatkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM1.05 bilion kepada 4.2 juta pendeposit aktifnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, berita baik bagi para pendeposit Tabung Haji itu seharusnya dilihat secara positif yang sepatutnya menggalakkan rakyat lebih banyak berjimat cermat dan membuat tabungan.

"Kita berharap para pendeposit akan melaburkan kembali wang itu dan tidak membazir dengan dividen yang diterima," ujarnya.

Katanya, langkah itu perlu kerana rakyat tidak tahu cabaran yang akan mereka hadapi pada masa depan.

Sementara itu, Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia, Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, pemberian dividen itu juga mencerminkan tahap ekonomi negara dan pengurusan Tabung Haji yang semakin kukuh.

"Pemberian dividen tujuh peratus ini menunjukkan keprihatinan Tabung Haji kepada para pendepositnya," kata beliau.

No comments: