Sunday, March 2, 2008

Berita Baik Buat ..... Pemilik Bas Malaysia

KAJANG 15 Feb. - Pemilik bas sekolah di seluruh negara hari ini menerima berita gembira apabila Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menambah had umur bas untuk mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi membolehkannya membawa rombongan sewa khas.

Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran berkata, melalui peraturan baru itu semua bas sekolah yang berumur 15 tahun ke bawah, dibenar membawa rombongan sewa khas tanpa sebarang had jarak perjalanan.

Katanya, bagi bas yang berumur antara 16 hingga 20 tahun pula, ia hanya dibenarkan bagi perjalanan tidak melebihi 300 kilometer (km) sehala.

"LPS itu bagaimanapun, hanya dikeluarkan pada hari cuti persekolahan atau cuti umum bagi mengelakkan mereka meninggalkan bidang tugas sebenar untuk membawa pelajar sekolah.

"Permohonan LPS pada hari persekolahan hanya dipertimbangkan jika ia berkaitan dengan aktiviti pihak sekolah dan program rasmi anjuran kerajaan dengan menyertakan surat sokongan atau pengesahan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

LPKP sebelum ini, memperketatkan pengeluaran LPS apabila hanya membenarkan bas sekolah berusia 10 tahun ke bawah, membawa rombongan sewa khas tanpa had perjalanan manakala bas yang berusia 11 hingga 15 tahun pula hanya dibenar melakukan perjalanan tidak lebih 300 km sehala.

Markiman berkata, selain LPKP, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) wilayah atau negeri turut dibenar meluluskan permohonan LPS kecuali LPS musim perayaan.

Katanya, kelonggaran itu untuk memudahkan urusan permohonan oleh pengusaha bas yang tinggal berjauhan daripada pejabat LPKP wilayah.

No comments: