Wednesday, April 2, 2008

Berita Baik..... Pengguna Di Malaysia

Penggenapan 5 sen mudahkan pengguna
KUALA LUMPUR 1 April – Orang ramai menyambut baik mekanisme penggenapan kepada 5 sen terdekat dalam urusan pembayaran di kaunter bagi mengatasi penggunaan syiling satu sen yang bermula hari ini kerana langkah itu disifatkan memudahkan pengguna.

Menurut mereka, langkah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu adalah tepat kerana turut mempercepatkan urusan pembayaran.

Pekerja sektor awam, Mohd. Noor Azizi Abdul Aziz, 27, berkata melalui mekanisme itu, para pengguna tidak perlu lagi membuat bayaran menggunakan kepingan syiling yang banyak apabila terdapat amaun sen.

‘‘Pengguna sekarang juga tidak akan terbeban untuk membawa duit syiling satu sen yang berat setiap kali pergi membeli belah atau membayar bil,’’ katanya dalam tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siti Aishah Lansah, 19, pula berkata, dia memang tidak pernah menggunakan syiling satu sen ketika menjalankan urusan perniagaan kerana menganggap ia menyusahkan.

Suri rumah, D. Santa Kumari, 42, berkata, dia bersetuju dengan pelaksanaan mekanisme itu tetapi berharap tiada masalah kenaikan harga barang akan timbul selepas ini.

‘‘Saya berharap para peniaga akan patuh kepada arahan kementerian dan tidak menggunakan pelaksanaan mekanisme ini sebagai alasan untuk menaikkan harga barang,’’ katanya.

Peniaga, Tee Kim Chuan berpendapat, langkah tersebut sepatutnya dilaksanakan dulu lagi kerana merasakan nilai satu sen tidak lagi relevan dengan kos sara hidup zaman sekarang.

‘‘Nilai satu sen ini mungkin sesuai digunakan untuk berbelanja ketika 20 tahun dulu tapi bukan pada zaman sekarang,’’ ujarnya.

Sementara itu M. Mohan, 54, berkata, walaupun nilai satu sen dipandang rendah oleh sesetengah golongan, namun baginya jika duit syiling itu dikumpul, ia boleh membantu golongan yang kurang berkemampuan.

‘‘Saya bersetuju dengan keputusan KPDNHEP yang menggunakan mekanisme ini hanya untuk urusan di kaunter sahaja yang mana nilainya masih sah diperlakukan untuk urusan jual beli lain,’’ katanya.

Mulai hari ini, syiling satu sen tidak akan digunakan lagi untuk pembayaran di kaunter sebaliknya semua bayaran bil digenapkan melalui mekanisme penggenapan kepada lima sen terdekat.

Menerusi mekanisme itu, jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan satu, dua, enam dan tujuh akan diturunkan kepada lima sen terdekat, manakala bil yang berakhir dengan tiga, empat, lapan dan sembilan akan dinaikkan kepada lima sen terdekat.
-utusan malaysia-

No comments: